Dari Rakyat Untuk Rakyat

13 August 2018


PUTRAJAYA - “Golongan Pak Nyah (Transmen) ini telah wujud sejak dari zaman Rasulullah lagi. Saya bukan mempertahankan golongan kami ini benar, tetapi saya cuma menegakkan keadilan bahawa memang kami wujud dan perlu diberikan hak yang sewajarnya sebagai seorang manusia,” kata aktivis Mitch Yusmar Yusof.

Beliau yang juga ahli Pertubuhan Kebajikan dan Persekitaran Positif Malaysia (SEED) berkata, “Kerajaan yang cemerlang seharusnya mengakui kewujudan golongan transgender sebagai sebahagian daripada komuniti masyarakat”. 

Beliau berpendapat bahawa ini adalah kerajaan yang menyedihkan selagi mana masih ada diskriminasi terhadap mana-mana golongan masyarakat tidak kira sama ada transgender, kaum Melayu, Cina atau India sekalipun. 

Menurut Mitch, matlamat dan perjuangannya adalah untuk menegakkan keadilan dan bukannya menuntut hak sebagai transgender tetapi hak sebagai seorang manusia seperti orang lain. 

“Kami dinafikan hak untuk mendapatkan peluang pekerjaan. Hal ini kerana berlakunya diskriminasi semasa temuduga kerja apabila mereka melihat luaran kami yang berperwatakan berlainan dengan identiti, mereka tidak mahu mengambil kami kerja”. 

Tambahnya, “sekalipun kami diterima untuk bekerja, kami harus mengikut peraturan mereka seperti memotong rambut dan perlu mematuhi cara pakaian seperti wanita”. 

“Oleh kerana perwatakan luaran saya bertentangan dengan identiti asal, maka saya menghadapi pelbagai kesulitan di sini. Sebagai contoh, jika saya pergi ke bank, orang akan mempersoalkan suara, rupa, dan nama saya yang berbeza dari apa yang tertera seperti dalam kad pengenalan. 

Begitu juga apabila saya ingin ke luar negara melalui imigresen, mereka tidak percaya kerana gambar ‘pasport’ berbeza dengan apa yang mereka lihat. 

Hal ini kerana kami tidak mendapat pengiktirafan jantina secara undang-undang (Legal Gender Recognition),” jelasnya lagi. 

Beliau mendakwa mereka turut dinafikan hak bilamana mereka tidak diberi kebebasan untuk mendapatkan rawatan kesihatan seperti rawatan hormon. 

Dan sebahagian daripada mereka juga turut menghadapi kekangan untuk menyambung pelajaran kerana perwatakan luaran mereka yang bertentangan dengan identiti asal. 

Walau bagaimapun, beliau tetap menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa bersama isteri dan anak-anaknya tanpa menghiraukan segala tohmahan dan tanggapan negatif sesetengah pihak terhadap golongan transgender sepertinya. 

“Saya berharap agar semua pihak dapat belajar menerima golongan transgender seperti kami seadanya dan bukan mahu kami menurut sepertimana yang anda mahu,” katanya. 

Mengulas pandangan Mitch terhadap RUU 355, beliau menganggap pemerkasaan undang-undang ini hanyalah kuasa untuk mengawal masyarakat. 

Baginya, keadaan ekonomi negara perlu diperbaiki terlebih dahulu sebelum meningkatkan hukuman sebatan, denda dan sebagainya terhadap masyarakat. 

Sekaligus menolak pindaan Akta 355 yang dikatakannya sebagai “sampah”! Menara.My

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

Video